Malaysia 2009 – The New Revolution!

News. Politics. Business. Social. Entertainment. Sports. Problems & Issues

Perlantikan! Siapa Menteri Besar (MB) Perlis? Shahidan Kassim atau Md. Isa Sabu?

leave a comment »

Oleh: Anwar Hussin

PILIHAN RAJA: Dr Md Isa (kiri) hadir di Istana Siraj, Kuala Lumpur semalam.

Shahidan terima watikah, istana perkenan Md Isa

KUALA LUMPUR: Campur tangan istana menimbulkan kekeliruan mengenai siapa sebenarnya bakal mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baru.

Ini kerana Barisan Nasional (BN) yang mendapat mandat baru di negeri itu mahukan Datuk Seri Shahidan Kassim terus menjadi Menteri Besar, manakala Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail semalam berkenan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong, Datuk Dr Md Isa Sabu menduduki jawatan itu.

Setiausaha Sulit kepada Raja Perlis, Moh Adib Zakaria dalam kenyataan yang diedarkan kepada media di hadapan Istana Siraj di sini kira-kira 2.30 petang semalam, berkata pelantikan Md Isa dibuat mengikut Perlembagaan Negeri, Artikel 39 (2) Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.

“Peruntukan itu menyebut Raja hendaklah melantik seorang yang pada fikirannya mendapat kepercayaan ramai ahli menjadi Menteri Besar bagi mengetuai majlis kerajaan negeri.

“Berdasarkan peruntukan ini dan selepas berpuas hati dengan kemampuan untuk mendapat sokongan majoriti daripada Adun, Tuanku Raja Perlis berkenan melantik Md Isa sebagai Menteri Besar Perlis berkuat kuasa 14 Mac 2008 (semalam),” katanya.

TERIMA WATIKAH: Shahidan melambai kepada pemberita ketika keluar dari Istana Siraj, semalam.

Md Isa, 61, adalah bekas Exco Perlis tetapi beliau tidak dicalonkan untuk bertanding pada pilihan raya umum 2004. Selepas sepenggal berehat, beliau bertanding bagi kerusi DUN Bintong Sabtu lalu dan berjaya mengalahkan calon Pas, Mohd Anuar Mohd Tahir dengan majoriti 2,110 undi.

Pelantikannya oleh Raja Perlis semalam mengejutkan kerana Shahidan dalam sidang akhbar di ibu negara malam kelmarin, mengesahkan sudah menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar daripada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Selasa lalu.

Abdullah, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru dalam kemelut politik Perlis itu berkata, beliau sudah menyerahkan surat watikah kepada Shahidan bagi membolehkannya dilantik sebagai Menteri Besar dan membentuk barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) negeri.

“Saya sudah bagi surat watikah kepada Shahidan, yang menjadi pengerusi badan perhubungan BN negeri Perlis, yang menang (dalam pilihan raya minggu lalu).

PENGESAHAN: Kenyataan akhbar pelantikan Menteri Besar Perlis.

“Surat watikah itu adalah untuk dipersembahkan kepada Tuanku Raja Perlis supaya Shahidan dilantik Menteri Besar dan tubuh kerajaan negeri Perlis,” katanya dalam satu temu bual dengan Bernama di Seri Perdana, semalam.

Shahidan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, mula dilantik sebagai Menteri Besar, menggantikan Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh pada 6 Mac 1995 lalu dan mengekalkan jawatan itu sejak tiga penggal lalu.

Ketika awal proses penamaan calon, nama Shahidan dikatakan tersingkir hingga sebahagian besar pemimpin kanan Umno di Perlis bertindak mengancam meletak jawatan beramai-ramai dalam parti dan jentera pilihan raya kerana tidak berpuas hati dengan keputusan itu.

Sementara itu, Shahidan tiba di Istana Siraj kira-kira jam 11.45 pagi dan menghadap Tuanku Syed Sirajuddin selama 50 minit. Beliau yang ditemui pemberita kemudian kelihatan kecewa dan menyatakan tiada berita baik.

Lima minit selepas itu, sebuah Proton Perdana kelabu yang dikatakan membawa wakil ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, memasuki pekarangan Istana Siraj.

Ketika ditanya jika wujud campur tangan luar sehingga pelantikan Menteri Besar tertangguh lama, Shahidan berkata: “Memang ada, banyak campur tangan munafik… perjanjian dilanggar. Tetapi siapa yang melanggar keputusan Barisan Nasional (BN) akan diambil tindakan.”

Shahidan berkata, Perdana Menteri sudah memuktamadkan beliau dilantik Menteri Besar tetapi Raja mempunyai kuasa melantik sesiapa saja di bawah Perlembagaan.

Shahidan yang kelihatan tergesa-gesa meninggalkan pekarangan istana untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Putrajaya, berkata beliau akan menemui Perdana Menteri untuk perbincangan selanjutnya.

Sebaik saja Shahidan keluar dari pekarangan istana, adinda Raja Perlis, Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail yang juga Adun Pauh dan Md Isa dilihat tiba kira-kira jam 12.50 tetapi keluar 15 minit kemudian.

Perdana Menteri ketika ditanya mengenai kenyataan Shahidan yang tidak menolak kemungkinan untuk menjadi pembangkang kepada kerajaan negeri diterajui Md Isa, berkata: “Saya tidak dengar Shahidan cakap macam itu. Saya baru cakap (menerusi) telefon dengan dia dan dia tak pun sebut apa-apa.”

Written by aku

March 16, 2008 at 1:22 pm

Leave a Reply